PENTING!!!!

artikel-artikel yang diletakkan disini merupakan artikel yang dikumpul untuk rujukan bersama...

Tuesday, October 26, 2010

SYURGA

Syurga dan Neraka adalah makhluk yang diciptakan oleh Allah swt. Kita semua akan dibangkitkan diakhirat nanti dan dihitung setiap gerak kerja yang dilakukan masing-masing.

Firman Allah swt :

Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya), Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (Az-Zalzalah 7,8)

Oleh itu janganlah kita menganggap kehidupan berakhir dengan kematian di dunia sahaja, bahkan di akhirat nantilah kehidupan yang kekal selama-lamanya. Persiapkanlah bekalan untuk kesana....

(Kita semua akan dibangkitkan, dihimpun beramai-ramai bermula dari Nabi Adam as, dibicara di mahkamah Allah swt, akan disoal setiap amal perbuatan yang dilakukan, di hitung amal masing-masing, setiap orang akan meniti titian sirat, dan akhirnya ditentukan syurga atau neraka)

Firman Allah swt :

الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَى أَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan. (Yaa Siin 65)

Disini dinyatakan dalil-dalil berkaitan syurga :

Dikatakan syurga itu luasnya seluas langit dan bumi.

Firman Allah swt :

وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa. (A-li 'Imraan 133)

Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar. (Al-Hadiid 21)

Di syurga juga udaranya nyaman tidak panas membakar dan tidak pula sejuk menggigit.

Firman Allah swt :

مُتَّكِئِينَ فِيهَا عَلَى الأَرَائِكِ لاَ يَرَوْنَ فِيهَا شَمْسًا وَلاَ زَمْهَرِيرًا

Mereka berehat di dalam Syurga dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias), mereka tidak nampak di situ adanya matahari (usahkan hawa panasnya), dan tidak juga merasai suasana yang terlampau sejuk; (Al-Insaan 13)

Hamparan dan bejana.

Firman Allah swt :

مُتَّكِئِينَ عَلَى فُرُشٍ بَطَائِنُهَا مِنْ إِسْتَبْرَقٍ

Mereka (bersenang-senang di tempat masing-masing dalam Syurga itu dengan) berbaring di atas hamparan-hamparan, yang lapisan-lapisan sebelah dalamnya - dari sutera tebal yang bersulam. (Ar-Rahmaan 54)

Diedarkan kepada mereka piring-piring dari emas, dan piala-piala dan di dalam surga itu terdapat segala apa yang diingini oleh hati dan sedap (dipandang) mata dan kamu kekal di dalamnya." (Az-Zukhruf 71)

Dan (selain itu) diedarkan kepada mereka (oleh pelayan-pelayannya) : bijana dari perak dan piala-piala minuman yang keadaannya laksana kaca (nampak jelas isinya). (Al-Insaan 15)

Bidadari di syurga.

Firman Allah swt :

Di sisi mereka ada bidadari-bidadari yang tidak liar pandangannya dan jelita matanya, Seakan-akan mereka adalah telur (burung unta) yang tersimpan dengan baik. (As-Saaffaat 48,49)

فِيهِنَّ قَاصِرَاتُ الطَّرْفِ لَمْ يَطْمِثْهُنَّ إِنْسٌ قَبْلَهُمْ وَلاَ جَانٌّ ، فَبِأَيِّ آلاَءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ ، كَأَنَّهُنَّ الْيَاقُوتُ وَالْمَرْجَانُ ، فَبِأَيِّ آلاَءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ ، هَلْ جَزَاءُ الإِحْسَانِ إِلاَّ الإِحْسَانُ ، فَبِأَيِّ آلاَءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Di dalam Syurga-syurga itu terdapat bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan jin. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? Bidadari-bidadari itu (cantik berseri) seperti permata delima dan marjan. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik - melainkan balasan yang baik juga? Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Ar-Rahmaan 56-61)

Sungai-sungai di syurga.

Sungai-sungai syurga pula memancar dari bawah-bawah bukit. Di dalam al-Quran, Allah swt banyak menyebut tentang bermacam-macam sungai di syurga ini antara lain firmanNya :

مَثَلُ الْجَنَّةِ الَّتِي وُعِدَ الْمُتَّقُونَ فِيهَا أَنْهَارٌ مِنْ مَاءٍ غَيْرِ آسِنٍ وَأَنْهَارٌ مِنْ لَبَنٍ لَمْ يَتَغَيَّرْ طَعْمُهُ وَأَنْهَارٌ مِنْ خَمْرٍ لَذَّةٍ لِلشَّارِبِينَ وَأَنْهَارٌ مِنْ عَسَلٍ مُصَفًّى وَلَهُمْ فِيهَا مِنْ كُلِّ الثَّمَرَاتِ وَمَغْفِرَةٌ مِنْ رَبِّهِمْ كَمَنْ هُوَ خَالِدٌ فِي النَّارِ وَسُقُوا مَاءً حَمِيمًا فَقَطَّعَ أَمْعَاءَهُمْ

Sifat Syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa (ialah seperti berikut): ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya, dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih. Dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan, serta keredaan dari Tuhan mereka. (Adakah orang-orang yang tinggal kekal di dalam Syurga yang sedemikian itu keadaannya) sama seperti orang-orang yang tinggal kekal di dalam neraka dan diberi minum dari air yang menggelegak sehingga menjadikan isi perut mereka hancur? (Sudah tentu tidak sama)! (Muhamad 15)

Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: "Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu"; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya. (Al- Baqarah 25)

Ayat di atas memberi pengertian bahawa sungai-sungai di syurga bukanlah mengandungi air-air biasa seperti di dunia ini, sebaliknya ada sungai yang berair susu, ada yang berair anggur (arak) yang tidak memabukkan, ada yang dari madu dan sebagainya. Firman Allah swt :

لاَ يُصَدَّعُونَ عَنْهَا وَلاَ يُنزِفُونَ

Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya. (Al-Waaqi'ah 19)

Ia tidak mengandungi sesuatu yang membahayakan, dan tidak pula mereka mabuk kerana menikmatinya. (As-Saaffaat 47)

Sungai-sungai ini semuanya mengalir dengan tenang melalui rumah-rumah di syurga, di kebun-kebun dan di celah-celah pokok. Bahkan terdapat juga mata-mata air yang mengalir.

Sewaktu Israk dan Mikraj, Rasulullah s.a.w. pernah melihat sungai yang dinamakan Al-Kausar. Sungai ini dilingkari oleh bukit-bukit yang terdiri dari permata-permata dan tanahnya dari wangian yang paling wangi. Tepian sungai ini terdiri dari emas sedangkan anak-anak batunya dari mutiara.

Barangsiapa meminum air dari Al-Kausar ini walau hanya satu kali sahaja, dia tidak merasa haus untuk selama-lamanya.

Mendengar tentang kenikmatan yang terdapat pada Al-Kausar ini, tentu banyak di antara kita yang berharap untuk dapat menjadi golongan orang-orang yang dapat datang ke tempat tersebut. Agar harapan ini menjadi nyata, hendaklah kita berusaha mencari keredhaan Allah dalam kehidupan ini dari segala aspek.

Syurga itu bertingkat-tingkat.

Syurga itu bertingkat-tingkat dan setiap tingkat berbeza-beza pula. Jarak antara satu tingkat dengan tingkat yang lain ialah seperti jarak antara bumi dan langit. Adapun tingkatan syurga yang paling tinggi darjatnya dinamakan "Firdaus". Di atas Firdaus inilah terletak "Arsy Rahman (Mahligai Tuhan).

Segala yang ada di syurga itu indah-indah belaka jauh lebih indah dari apa yang ada di atas muka bumi ini. Tetapi yang terindah di syurga ialah pandangan terhadap Allah, tidak sesuatu kenikmatan lain yang dapat melebihi keistimewaannya.

Cuba kita bayangkan di dunia ini sahaja, kalaulah kita diberikan kesempatan bertemu dan berbual-bual dengan salah seorang pemimpin negara, tentu kita akan sangat gembira dan bahagia dengan pengalaman tersebut. Inikan pula akan bertemu dengan Allah yang menciptakan dunia ini.

Firman Allah swt :

وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَاضِرَةٌ , إِلَى رَبِّهَا نَاظِرَةٌ

Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri; Melihat kepada Tuhannya. (Al-Qiaamah 22,23)

Dalam hal ini pernah Nabi Musa a.s. meminta kepada Allah untuk melihatNya. Tetapi baru sahaja Allah menunjukkan diri kepada gunung, gunung itu bergegar dan hancur sehingga Musa jatuh pengsan. Ini membuktikan gunung yang bagaimana juga kukuhnya akan hancur bila Tuhan menunjukkan diriNya, inikan pula manusia yang lemah.

Taman-taman di syurga.

Allah menciptakan perkara-perkara yang luar biasa indah dan nikmatnya kepada orang-orang yang bertakwa sehingga menurut Nabi Muhammad s.a.w. di syurga itu terdapat apa-apa yang belum pernah dilihat oleh mata dan didengar oleh telinga serta tidak pernah pula terlintas di hati manusia.

قال رسول الله ص، قال الله عزوجل : أعددت لعبادى الصالحين ما لا عين رأت ولا أذن سمعت ولا خطر على قلب بشر، واقرءوا إن شئتم : ( فلا تعلم نفس ما أخفي لهم من قرة أعين

Rasulullah Saw bersabda bahwa Allah Swt berfirman: "Aku menyiapkan untuk hamba-hamba-Ku yang shaleh apa-apa yang belum pernah dilihat oleh mata, didengar oleh telinga dan belum pernah terlintas dalam benak manusia. Oleh karena itu bacalah kalau kamu ayat: 'Seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka yaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.' (As-Sajdah: 17)." (Bukhari & Muslim)

Kalau di dunia ini kita selalu melihat macam-macam taman yang dihiasi indah dengan aneka macam tumbuhan dan bermacam-macam bunga, di situ kita boleh menghabiskan masa berjam-jam sambil menikmati keindahannya juga mencari ketenangan. Maka begitu juga di syurga, Allah menciptakan taman-taman bagi penghuninya.

Pintu-pintu syurga.

Sebelum masuk ke syurga, penghuni-penghuninya akan melalui pintu-pintu syurga terlebih dahulu. Pintu-pintu ini ada bermacam-macam pula jenisnya. Hal ini disebutkan di dalam al-Quran :

هَذَا ذِكْرٌ وَإِنَّ لِلْمُتَّقِينَ لَحُسْنَ مَآبٍ , جَنَّاتِ عَدْنٍ مُفَتَّحَةً لَهُمُ الأَبْوَابُ

(Segala sifat-sifat yang mulia) ini, adalah menjadi sebutan penghormatan (bagi mereka). Dan sesungguhnya bagi orang-orang yang bertaqwa, disediakan tempat kembali yang sebaik-baiknya (pada hari akhirat kelak), Iaitu beberapa buah Syurga tempat penginapan yang kekal, yang terbuka pintu-pintunya untuk mereka; (Saad 49,50)

Rasulullah bersabda: Demi Allah, demi antara dua ambang pintu syurga itu bagaikan jarak antara Makkah dan Basrah.

Jelaskan pada kita betapa luasnya pintu-pintu yang terdapat di dalam syurga.

Istana di syurga.

لَكِنْ الَّذِينَ اتَّقَوْا رَبَّهُمْ لَهُمْ غُرَفٌ مِنْ فَوْقِهَا غُرَفٌ مَبْنِيَّةٌ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأَنْهَارُ وَعْدَ اللَّهِ لاَ يُخْلِفُ اللَّهُ الْمِيعَاد

Tetapi (sebaliknya) orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka (dengan mengerjakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya), dibina untuk mereka (di dalam Syurga) mahligai-mahligai yang tinggi bertingkat-tingkat, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Demikianlah janji yang ditetapkan Allah; Allah tidak sekali-kali akan mengubah janji-janjiNya. (Az-Zumar 20)

Tanahnya dari za'faran, pasir dari kasturi, rumah-rumah yang dibina dari mutiara zamrud dan istana yang mengalir dibawah sungai-sungai. Tidak didengari bisingnya kenderaan, teriakan atau jeritan kanak-kanak dan sebagainya, akan tetapi didengari suara-suara yang menyenangkan.

Firman Allah swt :

لاَ يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْوًا وَلاَ تَأْثِيمًا ، إِلاَّ قِيلاً سَلاَمًا سَلاَمًا

Mereka tidak akan mendengar dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa, Mereka hanya mendengar ucapan: " Selamat! Selamat! " (dari satu kepada yang lain). (Al-Waaqi'ah 25,26)

Pohon-pohon dan buah-buahan di syurga.

Keindahan alam dengan pohon-pohon yang rimbun menghijau serta aneka macam jenis bunga-bunga yang menawan dapat memberikan kedamaian jiwa bagi siapa yang memandangnya.

Bayangkanlah kalau kita berada di tengah-tengah kebun bunga yang seperti itu ditambah pula dengan pohon-pohon yang mengeluarkan bermacam-macam jenis buah-buahan,tentu kita akan asyik dan enggan pergi atau meninggalkan tempat tersebut.

Di syurga, Allah memberikan kepada penghuni-penghuninya lebih dari itu sebagaimana firmanNya :

مُتَّكِئِينَ فِيهَا يَدْعُونَ فِيهَا بِفَاكِهَةٍ كَثِيرَةٍ وَشَرَابٍ , وَعِنْدَهُمْ قَاصِرَاتُ الطَّرْفِ أَتْرَابٌ

(Mereka akan bersukaria) dalam Syurga itu sambil berbaring (di atas pelamin); mereka meminta di situ buah-buahan dan minuman yang berbagai jenisnya dan rasa kelazatannya.

Dan di sisi mereka pula bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), lagi yang sebaya umurnya. (Saad 51,52)

وَفَاكِهَةٍ مِمَّا يَتَخَيَّرُون ، وَلَحْمِ طَيْرٍ مِمَّا يَشْتَهُونَ

Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-jenis yang mereka pilih, Serta daging burung dari jenis-jenis yang mereka ingini. (Al-Waaqi'ah 20,21

Serta buah-buahan yang banyak, Yang tidak putus-putus dan tidak pula terlarang mendapatnya. (Al-Waaqi'ah 32,33)

Dan golongan kanan, alangkah bahagianya golongan kanan itu, berada di antara pohon bidara yang tidak berduri dan pohon pisang yang bersusun-susun buahnya dan naungan yang terbentang luas; dan air yang tercurah; dan buah-buahan yang banyak tidak berhenti (buah-buahan yang banyak tidak berhenti (buahnya) dan tidak terlarang mengambilnya. (Al-Waqiah: 27-33)

Mudah-mudahan dengan segala gambaran diatas menambahkan lagi keimanan kita kepada Allah swt, tidak berputus asa dalam melaksanakan suruhanNya. Istiqamah dalam melakukan amal kebaikan dan seterusnya kita memohon mudah-mudahan tergolong di kalangan ahli-ahli syurga. Amin…..

Segala dalil-dalil diatas hanya sebahagian sahaja, banyak lagi kisah-kisah daripada Quran & Hadis. Jika kita sudah kecapi segala nikmat di dunia ini, Syurga diakhirat nanti tidak dapat kita bayangkan dan tidak terlintas sedikitpun difikiran manusia.

Oleh itu, marilah sama-sama kita memperbanyakkan amalan-amalan sunat, melakukan sembahyang sunat hajat, sunat tahajud, sunat taubat, sunat tasbih dan lain-lain lagi, bersedekah bagi menolong meringankan penderitaan fakir miskin atau anak-anak yatim dan melakukan amal-amal kebajikan serta berbuat baik terhadap ibu-bapa dan sebagainya.

Memohon restu kehadrat Allah s.w.t. bagi keselamatan dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Memohon restu kehadrat Allah swt semoga terhindar dari segala bala bencana, mala petaka dan huru-hara bagi diri sendiri, ahli keluarga, kaum muslimin dan muslimat, bangsa dan negara. Berusaha untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. disetiap bidang amal kebajikan yang kita laksanakan.

Mengambil kesedaran tentang perkara yang berlaku disekeliling kita, gejala maksiat yang semakin menular dikalangan masyarakat pada hari ini ( meninggalkan solat, pergaulan bebas, zina, pendedahan aurat, judi, rogol, arak, rompak, salah guna kuasa, zalim dan 1001 perkara mungkar ) lihatlah keadaan anak-anak muda hari ini yang semakin parah. Disamping kerajaan sekarang yang masih menghalalkan program-program maksiat, tidak lain ianya merupakan salah satu jalan berlakunya pelbagai maksiat.

Kurang penekanan terhadap pendidikan agama daripada ibu bapa, dan masyarakat Amnya, padahal ianya wajib dipelajari setiap orang yang bergelar muslim apabila sudah cukup syarat-syaratnya, yang malang ianya tidak diambil berat dan islam hanya sekadar pada nama sahaja.

Akhirnya, beramallah menurut keimanan masing-masing kalau tidak dapat dilaksanakan semua janganlah ditinggalkan semuanya, lebihan umur kita yang masih tinggal sedikit lagi, hampir sampai ke penghujungnya. Rebutlah amal-amal sebanyak-banyak yang boleh, bertaubatlah kepada Allah dosa-dosa yang banyak kita lakukan dahulu dan dengan segala kesungguhan kita untuk membawa bekalan di akhirat nanti, kerana setiap manusia akan menemui ajalnya masing-masing.

Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikkan di dunia semata-mata, kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang kami tentukan) dan ia tidak akan memperolehi sesuatu bahagian pun di akhirat kelak. (Asy-Syuura 20)

Maksudnya : "Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka". (Al- Baqarah 201)

No comments:

Post a Comment



My Fav. Site

Sabda Rasullullah saw :

Sampaikanlah pesanku biarpun sepotong ayat..