PENTING!!!!

artikel-artikel yang diletakkan disini merupakan artikel yang dikumpul untuk rujukan bersama...

Friday, October 29, 2010

ALLAH YANG MELETAKKAN PERATURAN DALAM HIDUP KITA

source: mahyuddinwasoh.com

Allah S.W.T sahaja yang berhak menentukan hukum halal dan haram…tidak ada seorang pun dari kalangan hambanya yang berhak mencampuri urusan tersebut atau mengeluarkan hukum yang bertentangan dengan hukum yang telah ditetapkan melainkan dengan merujuk kepada kaedah-kaedah yang digariskan oleh Syarak berdasarkan nas yang jelas dari al-Quran dan Hadis.

Bertaubatlah sebelum datangnya kiamat.

Bertaubatlah sebelum datangnya kiamat.

Apa pula halnya dengan orang kafir?…Ada di kalangan mereka yang menjadikan naluri sebagai panduan dalam menentukan halal dan haram. Apa-apa yang memberi faedah kepada diri mereka, akan dihalalkan dan apa-apa yang mengongkong hawa nafsu mereka, akan diharamkan. Dari sudut yang lain mereka juga mempersembahkan kepada patung sembahan mereka dengan haiwan yang kononnya hanya halal untuk tuhan mereka tetapi haram kepada manusia sedangkan haiwan-haiwan tersebut Allah S.W.T halalkan kepada manusia dan menjadikannya untuk dinikmati oleh manusia selaku khalifah Allah di muka bumi ini. Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

Allah sekali-kali tidak pernah mensyari’atkan adanya bahiirah[449], saaibah[450], washiilah[451] dan haam[452]. akan tetapi orang-orang kafir membuat-buat kedustaan terhadap Allah, dan kebanyakan mereka tidak mengerti. (Al-Maaidah : 103)

[449] Bahiirah: ialah unta betina yang Telah beranak lima kali dan anak kelima itu jantan, lalu unta betina itu dibelah telinganya, dilepaskan, tidak boleh ditunggangi lagi dan tidak boleh diambil air susunya.

[450] Saaibah: ialah unta betina yang dibiarkan pergi kemana saja lantaran sesuatu nazar. seperti, jika seorang Arab Jahiliyah akan melakukan sesuatu atau perjalanan yang berat, Maka ia biasa bernazar akan menjadikan untanya saaibah bila maksud atau perjalanannya berhasil dengan selamat.

[451] Washiilah: seekor domba betina melahirkan anak kembar yang terdiri dari jantan dan betina, Maka yang jantan Ini disebut washiilah, tidak disembelih dan diserahkan kepada berhala.

[452] Haam: unta jantan yang tidak boleh diganggu gugat lagi, Karena Telah dapat membuntingkan unta betina sepuluh kali.

Perlakuan terhadap bahiirah, saaibah, washiilah dan haam Ini adalah kepercayaan Arab Jahiliyah. Yang sebenarnya Allah S.W.T menjadikan haiwan-haiwan tersebut untuk dinikmati daging dan susunya oleh manusia. Begitu juga manfaat-manfaat lain yang boleh didapati darinya. Akan tetapi oleh kerana kependekan akal orang-orang kafir mereka memandai mandai pula menentukan halal dan haram bertentangan dengan hukum Allah S.W.T. Semua itu terjadi kerana terlalu mengikut hawa nafsu mereka dan juga kerana dibisikan oleh syaitan.

Firman Allah S.W.T maksudnya :

Dan mereka memperuntukkan bagi Allah satu bagian dari tanaman dan ternak yang Telah diciptakan Allah, lalu mereka Berkata sesuai dengan persangkaan mereka: “Ini untuk Allah dan Ini untuk berhala-berhala kami”. Maka saji-sajian yang diperuntukkan bagi berhala-berhala mereka tidak sampai kepada Allah; dan saji-sajian yang diperuntukkan bagi Allah, Maka sajian itu sampai kepada berhala-berhala mereka[508]. amat buruklah ketetapan mereka itu. (Al-Ana’m : 136)

[508] menurut yang diriwayatkan bahwa hasil tanaman dan binatang ternak yang mereka peruntukkan bagi Allah, mereka pergunakan untuk memberi makanan orang-orang fakir, orang-orang miskin, dan berbagai amal sosial, dan yang diperuntukkan bagi berhala-berhala diberikan kepada Penjaga berhala itu. apa yang disediakan untuk berhala-berhala tidak dapat diberikan kepada fakir miskin, dan amal sosial sedang sebahagian yang disediakan untuk Allah (fakir miskin dan amal sosial) dapat diberikan kepada berhala-berhala itu. kebiasaan yang seperti Ini amat dikutuk Allah.

Itulah dia gambaran yang Allah S.W.T berikan tentang perlakuan orang kafir dalam menentukan halal dan haram. Semuanya hanya semata-mata mengikut hawa nafsu dengan menjadikan alasan untuk mendapatkan keredhoan tuhan mereka.

Mari kita lihat pula erti firman Allah berikut :

Katakanlah: “Marilah kubacakan apa yang diharamkan atas kamu oleh Tuhanmu yaitu: janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan Dia, berbuat baiklah terhadap kedua orang ibu bapa, dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu Karena takut kemiskinan, kami akan memberi rezki kepadamu dan kepada mereka, dan janganlah kamu mendekati perbuatan-perbuatan yang keji, baik yang nampak di antaranya maupun yang tersembunyi, dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar[518]“. demikian itu yang diperintahkan kepadamu supaya kamu memahami(nya).

(Al-An’am : 151)

[518] maksudnya yang dibenarkan oleh syara’ seperti qishash membunuh orang murtad, rajam dan sebagainya.

Allah S.W.T menjelaskan apa yang diharamkan ke atas hambanya secara terang dan jelas agar tidak ada dari hambanya pada hari kiamat nanti mempertikaikan Allah dengan mengatakan : Wahai Tuhan! Engkau telah mengharamkan beberapa perkara tetapi aku tidak tahu, oleh itu mengapa engkau menghitung amalanku? Allah akan menjawab kepada mereka : Tidak…Setiap apa yang telah diharamkan ke atas kamu semua telah dijelaskan sewaktu turunnya Al-Quran.

Syirik

Antara perkara haram yang dijelaskan Allah dalam Al-Quran ialah menyengutukan Allah dengan sesuatu yang lain. Hukum pengharamannya berkekalan sampai hari kiamat Firman Allah bermaksud :

janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan Dia
(Al-An’am : 151)

Larangan mensyirikan Allah ini merupakan tujuan utama setiap Rasul itu diutuskan….hanya semata-mata menyembah Allah yang Maha Esa dan satu.. Esa ertinya tidak ada satupun menyerupaiNya dan Satu pula bererti tidak terbentuk dari zarah-zarah yang lain seperti halnya sebuah rumah yang terbentuk dari ribuan batu bata. Allah tidak begitu kerana Ia tidak boleh dibahagi-bahagikan.

Dengan lebih jelas pengharaman mensyirikan Allah ini termasuklah samaada dari segi percaya, perkataan, atau dakwaan bahawa Allah ada bandingan yang lain. Demikian itu merupakan dosa yang tidak terampun bertepatan dengan firmanNya yang bermaksud :

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. barangsiapa yang mempersekutukan Allah, Maka sungguh ia Telah berbuat dosa yang besar. (An-Nisaa’ : 48)

Syirik ini adalah pengharaman yang terawal. Dengan dosa ini akan menyebabkan kita kekal di dalam neraka kerana kita melakukan kufur kepada Pencipta langit dan bumi dan juga pencipta diri kita sendiri.

Derhaka Ibu Bapa

Perkara kedua yang Allah haramkan ialah menderhakai ibu bapa.

….berbuat baiklah terhadap kedua orang ibu bapa….(Al-An’am : 151)

Ayat ini membawa maksud bahawa ibu dan bapa perlu dilayan denga baik semasa mereka tua…mengapa semasa tua? Jawapannya kerana semasa mereka masih muda, anak-anak masih kecil dan tidak mampu menjaga dan melayan mereka. Tetapi selepas anak-anak menjadi dewasa dan sudah berdikari sementara ibu bapa pula sudah tua, ketika itulah mereka dapat dijaga dan dilayan dengan baik kerana penjagaan dan layanan yang baik itu memerlukan pengorbanan dari sudut kewangan dan sebagainya. Oleh yang demikian berbuat baik dengan ibu bapa hanya dituntut semasa ibu bapa sudah tua. Mengapa anak-anak dituntut berbuat baik dengan ibu bapa? Kerana ibu dan bapalah yang menyebabkan anak-anak lahir ke dunia…mereka berdualah yang memelihara anak semasa kecil…berjaga malam apabila anak sakit…maka sepatutnyalah jasa ibu bapa dibalas apabila mereka berada di penghujung usia…Rasul S.A.W bersabda di dalam sebuah hadis :

“Syurga di bawah tapak kaki ibu”

Jika kita mahu Allah S.W.T memberikan kita balasan yang baik, kita hendaklah memelihara diri dari melakukan perkara yang boleh menimbulkan kemarahan ibubapa. Ada satu peristiwa yang berlaku di zaman Rasulullah S.A.W, kisah seorang pemuda yang bernama Alqamah. Dia seorang pemuda yang sangat bersungguh sungguh dalam mentaati Allah dengan banyak melakukan solat sunat, puasa sunat dan banyak bersedekah. Suatu hari dia telah jatuh sakit yang teruk lalu isterinya pergi berjumpa dengan Nabi S.A.W dan menceritakan kepada Baginda bahawa suaminya Alqamah sedang nazak.

Nabi pun menghantar beberapa orang sahabat iaitu Ammar, Suhaib dan Bilal untuk mengajarkan kepada Alqamah ucapan syahadah. Apabila sahabat Nabi tadi mengajarkan kalimah syahadah kepada Alqamah, lidahnya kelu tidak dapat menyebut apa yang diajarkan kepadanya. Sahabat-sahabat tadi pun menceritakan keadaan itu kepada Nabi lalu Baginda pun bertanya adakah Alqamah masih ada ibu atau bapa. Kemudian Baginda diberitahu bahawa ibu Alqamah masih hidup dan dia sudah tua lalu Nabi pun mengutus seseorang kepada ibu Alqamah untuk meminta dia datang bertemu Nabi S.A.W sekiranya mampu. Jika tidak mampu, Baginda sendiri akan pergi bertemu dengannya. Setelah pesanan Baginda itu disampaikan kepada ibu Alqamah, dia pun memilih untuk datang bertemu Nabi kerana kedudukan Baginda yang lebih tinggi.

Lalu Ibu Alqamah pun memaut pada tongkatnya lalu berjalan dengan tongkat tersebut untuk bertemu Nabi S.A.W. Apabila sampai dia pun memberi salam kepada nabi dan Baginda pun menjawab salamnya. Nabi pun bersabda kepada ibu Alqamah : “Wahai ibu Alqamah! Bercakap benarlah denganku. Jika kamu berdusta, wahyu Allah memberitahuku kisah sebenar. Bagaimanakah keadaan Alqamah sebelum ini?” Dia pun menjawab : “Alqamah adalah seorang yang banyak solat, banyak puasa dan banyak bersedekah”. Nabi S.A.W bertanya lagi : “Apa pula halnya dengan diri kamu?” Ibu Alqamah menjawab : “Aku marah kepadanya” Nabi bertanya lagi :“Mengapa kamu memarahi dia?” Dia menjawab : “Alqamah telah melebihkan isterinya berbanding aku dan dia menderhakaiku” Nabi pun bersabda : “Sesungguhnya kemarahan ibu Alqamah telah membuatkan lidahnya kelu dari menyebut kalimah syahadah”.

Kemudian Nabi pun bersabda lagi : “Wahai Bilal! Engkau pergi kumpulkan kayu api yang banyak dan bawakan kepadaku”. Arahan Baginda membuatkan ibu Alqamah bertanya kehairanan : “Apa yang hendak Engkau lakukan wahai Rasulullah?” Baginda menjawab : “Aku akan membakar Alqamah di hadapanmu” Ibu Alqamah pun berkata :”Aku tidak sanggup melihat Engkau membakar anakku di hadapanku” Nabi berkata kepada Ibu Alqamah: “Wahai Ibu Alqamah! Azab Allah lebih dahsyat dan kekal. Untuk menyelamatkan Alqamah, engkau pohonlah keampunan Allah untuknya dan berilah keredhaan kepadanya. Demi jiwaku ditanganNya…Tidak akan bermanfaatlah segala solat, puasa dan sedekahnya selagi kamu masih memarahinya”.

Ibu Alqamah pun berkata : “Dengan disaksikan Allah S.W.T, para malaikatNya dan semua orang islam yang ada di sini, sesungguhnya aku telah meredhai anakku Alqamah“. Nabi pun menyuruh Bilal pergi melihat keadaan Alqamah adakah dia sudah boleh mengucap syahadah atau tidak. Harapan Baginda moga-moga ibu Alqamah meredhai anaknya dengan kata-kata dan juga hati, bukannya pada mulut sahaja. Apabila Bilal sampai di rumah Alqamah dia mendengar Alqamah sudah boleh menyebut kalimah syahadah.

Alqamah meninggal pada hari itu juga dan Nabi dating menziarahi jenazahnya lalu baginda menyuruh dia dimandi dan dikafankan kemudian Nabi melaksanakan solat jenazah ke atasnya. Baginda juga mengiringi jenazahnya ke perkuburan kemudian Nabi pun berdiri di atas kuburnya dan bersabda :

“Wahai sekalian kaum Muhajirin dan Ansar! Sesiapa yang melebihkan isterinya berbanding ibunya, dia akan mendapat laknat Allah, MalaikatNya dan manusia seluruhnya. Allah tidak akan menerima amal kebajikan yang dilakukannya melainkan dia bertaubat kepada Allah Azza Wajalla. Hendaklah dia berbuat baik kepada ibunya dan mencari keredhaannya. Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu begitu juga dengan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu”

Begitulah kita lihat betapa besarnya kedudukan ibubapa di sisi Allah S.W.T. Sesungguhnya menderhaka dan mengundang kemarahan ibubapa merupakan sebahagian daripada dosa-dosa besar yang sepatutnya dielakan oleh orang islam. Demikian adalah untuk mengenang jasa ibubapa dan juga demi keredhaan Allah S.W.T yang menyuruh berbuat baik kepada mereka.

Sambungan…

Perkara ketiga yang Allah haramkan selepas syirik dan menderhakai ibi bapa ialah membunuh anak. Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

…dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu Kerana kemiskinan, kami akan memberi rezki kepadamu dan kepada mereka…(Al-An’am : 151)

Ayat ini disebut dua kali di dalam Al-Quran. Pertama di dalam surah Al-An’am seperti di atas dan kedua di dalam surah Al-Isra’ ayat ke 31 yang bermaksud :

Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu Kerana takut kemiskinan. kamilah yang akan memberi rezki kepada mereka dan juga kepadamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah suatu dosa yang besar. (Al-Isra’ : 31)

Sebahagian ahli ilmu mengatakan bahawa kedua-dua ayat tadi bersamaan antara satu sama lain. Tetapi yang sebenarnya adalah tidak sama antara satu sama lain. Ayat di dalam surah Al-An’am berbunyi ….kerana kemiskinan… yang membawa makna kemiskinan itu telah ada. Dalam ayat ini seorang bapa itu sudah miskin dan dengan kedatangan anak baru dia takut kemiskinannya akan bertambah lalu Allah menenangkan hatinya dengan memberi jaminan bahawa rezekinya tidak akan berkurangan sedikit pun dan rezeki anaknya sudah tersedia.

Sementara ayat di dalam surah Al-Isra’ pula berbunyi …kerana takut kemiskinan…. Yang memberi makna kemiskinan itu belum ada lagi. Seorang bapa takut dengan kedatangan anaknya akan menyebabkan kehidupannya yang senang berubah kepada miskin. Akan tetapi ketakutan itu dijawab oleh Allah bahawa janganlah dia takut kerana rezekinya dan anaknya telah ditentukan oleh Allah S.W.T dan terjamin.

Pengharaman membunuh anak samalah pengharamannya dengan membunuh jiwa yang tidak berdosa. Allah yang menjadikan sang anak dan Allah lah yang menghendaki anak itu hidup di dunia ini. Oleh yang demikian rezekinya sudah terjamin seperti difirmankan Allah di dalam surah Huud ayat 6 yang bermaksud :

Dan tidak ada suatu binatang melata di bumi melainkan Allah-lah yang memberi rezkinya

Mengapa hendak mengkufuri pemberian Allah dengan membunuh anak…Allah sudah menjamin rezeki seorang bapa dan anaknya itu?!

Seterusnya perkara yang Allah haramkan ialah perkara-perkara keji.Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

dan janganlah kamu mendekati perbuatan-perbuatan yang keji, baik yang nampak di antaranya maupun yang tersembunyi… (Al-An’am : 151)

Keji bermaksud melampau contohnya zina adalah satu perbuatan melampau begitu juga dengan meminum arak sehinggalah kepada perkara-perkara lain yang termasuk dalam kategori dosa-dosa besar. Dalam ayat ini Allah haramkan perkara yang nampak terlebih dahulu, mengapa? Jawabnya kerana Allah tidak mahu dosa-dosa itu berlaku secara terang terangan sehingga ianya bermaharajalela dan menjadi ikutan di dalam masyarakat….sehingga hilangnya rasa malu. Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud :

Setiap umatku diampunkan dosanya kecuali orang yang melakukan dosa secara terang terangan…



No comments:

Post a Comment



My Fav. Site

Sabda Rasullullah saw :

Sampaikanlah pesanku biarpun sepotong ayat..