PENTING!!!!

artikel-artikel yang diletakkan disini merupakan artikel yang dikumpul untuk rujukan bersama...

Thursday, December 16, 2010

PENCERAIAN BHGN 1 - NAFKAH DARIPADA BAPA



Oleh Hidayah Mohammad dan Norfaiza Ismail
Peruntukan undang-undang sedia ada memastikan hak wanita dan anak dilindungi

PERIT rasanya apabila ketiadaan suami. Semua tugasan perlu diselesaikan sendiri termasuk mencari sesuap nasi bagi mengalas perut si kecil di rumah. Lebih-lebih lagi, jika bekas suami tidak bertanggung jawab dan enggan membayar nafkah meskipun mahkamah sudah pun menetapkan jumlah yang perlu dibayar. Sekurang-kurangnya, dengan nafkah berkenaan keperluan si kecil dapat disediakan.
Bagaimanapun, sering kali juga bekas suami lepas tangan enggan membayar nafkah yang ditetapkan. Lebih malang, jika isteri yang kurang arif undang-undang sekadar berdiam diri kerana tidak tahu ke mana harus mengadu.

Justeru, keputusan mahkamah baru-baru ini untuk mengeluarkan perintah komital dengan mengenakan hukuman penjara terhadap seorang peniaga yang tidak membayar nafkah anak kepada bekas isterinya sejak tujuh tahun lalu, perlu dijadikan iktibar. (Berita Harian, ms 1, 17 Mei).

Bagi mengelak daripada di penjara, peniaga berkenaan terus melunaskan sebahagian daripada nafkah yang tertunggak berjumlah RM21,000 kepada bekas isterinya. Pastinya perintah berkenan menjadi pengajaran kepada si suami dan juga suami lain yang tidak menunaikan tanggungjawab kepada anak.

Peguam bela dan peguam cara, Nisah Haron, berkata Enakmen Undang-undang Keluarga Islam bukan saja memberi kelebihan kepada bekas isteri untuk membuat tuntutan memohon perintah nafkah tertunggak dan nafkah semasa, bahkan isteri juga boleh melakukan perkara sama sekiranya suami cuai serta abai daripada menjalankan tanggungjawabnya.

“Undang-undang ini bukan baru kerana sudah termaktub dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam kebanyakan negeri. Cuma mungkin ramai yang tidak tahu kewujudannya menyebabkan ada wanita merasakan teraniaya apabila bekas suami tidak membayar nafkah, lebih-lebih lagi apabila tidak tahu ke mana hendak dituju.

“Pada masa sama, ada peruntukan untuk wanita yang masih dalam perkahwinan untuk membuat tuntutan perintah nafkah ini sekiranya suami tidak menjalankan tanggung jawabnya. Ini penting kerana ramai wanita hari ini yang menganggap tuntutan perintah nafkah hanya untuk wanita yang sudah bercerai,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, isteri yang menuntut nafkah adalah hanya untuk keperluan peribadinya tidak termasuk membeli barang perkakas dan keperluan rumah. Tuntutan nafkah itu mestilah bergantung kepada keperluan isteri dan juga anak, selain kemampuan suami itu sendiri.

Tuntutan nafkah membabitkan perceraian untuk bekas isteri ialah nafkah edah dan nafkah mutaah, manakala nafkah anak berterusan sehingga mereka boleh berdikari, iaitu berkahwin bagi anak perempuan dan mampu menanggung diri sendiri bagi anak lelaki. Malah, berdasarkan peruntukan itu bapa juga perlu membiayai pengajian anak daripada bekas isterinya termasuk di institusi pengajian tinggi.

“Ketika perbicaraan dijalankan, mahkamah akan merekodkan kata persetujuan antara suami dan isteri/bekas isteri untuk membayar serta menerima sejumlah nafkah itu. Contohnya isteri menuntut RM500 nafkah anak setiap bulan daripada suaminya. Ini bergantung kepada jumlah anak dan juga peringkat umur anak, selain kemampuan suami.

“Bagaimanapun jika tidak mendapat kata persetujuan yang sama, mahkamah akan menjatuhkan berapa banyak nilai untuk dibayar suami kepada isteri/bekas isterinya. Proses itu dikenali sebagai mendapatkan perintah,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya suami mengingkari perintah mahkamah yang mengarahkan membayar nafkah berkenaan mengikut tempoh waktu dan nilai yang ditetapkan, tindakan boleh diambil isteri atau bekas isteri untuk memohon pelaksanaan perintah.

Apabila ini berlaku, maka mahkamah akan memanggil suami untuk perbicaraan bagi mendapatkan penyelesaian.Proses itu pula dipanggil sebagai penguatkuasaan perintah. Dalam peringkat itu, suami perlu memberi alasan yang munasabah dan kukuh mengapa tidak dapat menjelaskan nafkah berkenaan.

Mahkamah akan membuat pertimbangan dan menilai semula huraian terbabit dan memberi peluang kepada suami/bekas suami menunaikan tanggung jawabnya, tetapi nafkah itu tetap harus dibayar dan ia semakin berganda mengikut setiap bulan.

Bagi suami yang bekerja dengan kerajaan, mahkamah boleh menetapkan pembayaran dibuat melalui potongan gaji dan terus membayar melalui akaun bank isteri. Tetapi masalah akan timbul dan sukar untuk membuat tuntutan daripada suami, sekiranya suami itu bekerja di bawah naungan swasta. Dalam hubungan ini, jika majikan ingkar mahkamah juga boleh mengambil tindakan terhadap majikan berkenaan.

“Jika proses penguatkuasaan perintah itu masih tidak dipatuhi, isteri atau bekas isteri boleh memohon supaya mahkamah mengeluarkan perintah komital kerana menghina mahkamah. Apabila disabitkan bersalah, si suami boleh dikenakan tindakan termasuk dipenjarakan mengikut budi bicara hakim,” katanya

Nisah berkata, walaupun dipenjarakan jumlah nafkah tetap bertambah setiap bulan dan suami perlu membayar jumlah yang tertunggak itu.

FAKTA

MEKANISMA MEMBUAT TUNTUTAN NAFKAH:

* Failkan tuntutan nafkah di mana-mana mahkamah yang ada bidang kuasa yang betul.

* jika isteri tiada peguam, mahkamah akan uruskan dengan menggunakan Biro Bantuan Guaman.

* Sertakan maklumat mengenai suami seperti alamat tempat tinggal dan tempat kerja dengan betul dan lengkap.

* Kemudian, suami akan menerima satu salinan dan juga borang dari mahkamah mengenai tuntutan yang dibuat isterinya. Berdasarkan borang yang diberi itu, suami perlu mengisi borang jawapan dengan memberikan alasan mengapa isteri tidak boleh dibayar dan mengapa diabaikan dan tanggungan dan sebagainya.

* Suami akan mendapat surat tarikh untuk perjumpaan di mahkamah bersama isteri untuk urusan lanjut

* Datang pada tarikh ditetapkan, kemudian jumpa pegawai pendaftar. Keputusan akan ditanya sama ada setuju ataupun tidak untuk membayar nafkah kepada isteri.

* Jika SETUJU- mesti akur untuk membayar dalam tempoh yang ditetapkan.

* Jika TIDAK SETUJU atau tidak mampu - mahkamah akan menilai kes itu dan suami perlu menjawab beberapa alasan membabitkan jumlah yang sanggup bayar, komitmen atau tanggungan lain secara bertulis.

* Suami akan mendapat tarikh untuk perbicaraan di mahkamah.

* Perbicaraan dan keputusan dari mahkamah



No comments:

Post a Comment



My Fav. Site

Sabda Rasullullah saw :

Sampaikanlah pesanku biarpun sepotong ayat..